MAIPk, PSB DAN KPTM IPOH TEROKA KERJASAMA PEMBANGUNAN ASRAMA PELAJAR
MERU, 5 Ogos 2026 – Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk) bersama anak syarikat milik penuhnya, PKEINPk Sdn. Bhd. (PSB), telah mengadakan kunjungan hormat ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh bagi membincangkan cadangan pembangunan asrama pelajar KPTM Ipoh.
Delegasi MAIPk diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Syamsul Hazeman bin Md. Salleh, manakala delegasi PSB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Amirul Hakim bin Abdullah.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengarah KPTM Ipoh, Puan Anisa binti Mohd Yusoff. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Perkhidmatan Perniagaan merangkap Pegawai yang Menjalankan Tugas Pengarah Kanan, Jabatan Perancangan Korporat, KPTM Ibu Pejabat, Encik Mudzir bin Mohamad dan Ketua Pegawai Operasi MAIPk, Puan Wan Maizura binti Haji Wan Zahari.
Kunjungan ini bertujuan membentangkan cadangan pembangunan asrama pelajar KPTM Ipoh di atas tanah Baitulmal milik MAIPk, di samping mendapatkan input terkini berkaitan keperluan serta pengurusan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di institusi berkenaan.
Semoga cadangan pembangunan asrama pelajar KPTM Ipoh ini dapat diperhalusi dengan sebaik-baiknya dan direalisasikan dalam tempoh terdekat demi menyediakan kemudahan penginapan yang selesa serta kondusif kepada para pelajar.








