• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik

PROGRAM ZIARAH DAN PENYAMPAIAN BANTUAN ASNAF DI KAMPAR

KAMPAR, 27 Julai 2026 – Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) Cawangan Kampar telah menganjurkan Program Ziarah Asnaf dan Penyampaian Bantuan Asnaf di daerah Kampar. Rombongan MAIPk diketuai oleh Orang Besar Jajahan Kampar, YDH Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja, Encik Azman bin Dato' Seri Yeop Junior dan disertai oleh Pengurus Besar MAIPk Zon Selatan, Encik Suhaimi bin Yusoff dan Pengurus MAIPk Cawangan Kampar, Encik Mohd Nazrul Hisham bin Mohd Nasir.

Dalam program tersebut, MAIPk telah menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kepada lima penerima asnaf mengikut keperluan masing-masing. Antara penerima ialah Encik Mohd Azri bin Ariffin dari Kampung Baru Air Hitam Labu. Beliau menjalankan perniagaan menjual Apam Balik dengan pendapatan tidak menentu, isteri tidak bekerja dan mempunyai empat orang anak. MAIPk meluluskan pembinaan sebuah rumah tiga bilik melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM93,500.00.

Sementara itu, Encik Muhammad Irwan bin Norazizi dari Kampung Batu Berangkai menerima Bantuan Bencana berjumlah RM3,000.00 bagi meringankan beban selepas rumah beliau mengalami kerosakan akibat pokok tumbang ke kediamannya.

Di samping itu, Encik Zarul Azham bin Zamrai dari Taman Bandar Baru, merupakan menghidap kanser usus dan isterinya pula sedang menjalani rawatan akibat kanser payudara, menerima Bantuan Bulanan sebanyak RM600.00 serta Bantuan Sewa Rumah sebanyak RM450.00 bagi membantu menampung perbelanjaan sara hidup keluarga.

Selain itu, Puan Safiah binti Ibrahim dari Taman Sentosa merupakan balu dan mempunyai anak empat orang yang masih bersekolah, menerima Bantuan Sewa Rumah sebanyak RM450.00 bagi membantu meringankan kos tempat tinggal beliau dan anak-anak.

Turut menerima bantuan ialah Encik Rozaimie bin Mohd. Shariff. Beliau tidak bekerja setelah menghidap sakit lumpuh sebelah kiri dan kini dalam fasa pemulihan. Beliau menerima Bantuan Modal Perniagaan berjumlah RM4,387.00 bagi memudahkan isteri beliau menjalankan perniagaan sejuk beku bagi menyokong usaha menjana pendapatan keluarga, selain Bantuan Bulanan sebanyak RM800.00 bagi membantu menampung keperluan hidup dan kos rawatan anak beliau yang menghidap leukemia.

Program seumpama ini bukan sahaja menyampaikan bantuan, malah mengukuhkan hubungan antara MAIPk, pemimpin masyarakat dan golongan asnaf, di samping memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian melalui pemantauan secara berterusan.

MAIPk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pembayar zakat di Negeri Perak yang terus menunaikan kewajipan berzakat melalui MAIPk. Sumbangan zakat yang diamanahkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai bentuk bantuan dan program kebajikan yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.


.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.