AMANAH ZAKAT, SINAR BUAT MEREKA YANG DIUJI
KUALA KANGSAR – Di sebalik ujian kesihatan yang dilalui, bantuan MAIPk menjadi sinar yang meringankan beban penerima dan keluarga, khususnya mereka yang memerlukan keperluan perubatan secara berterusan.
Pengurus Besar MAIPk Zon Timur, Encik Zul-Azri bin Hosaini turun padang menyantuni serta menyerahkan bantuan perubatan kepada empat penerima di sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput.
Antara penerima ialah Encik Muhammad Ariq Aqasha binti Muhammad Worksha dari Kota Lama Kanan yang menerima bantuan perubatan kali ketiga berikutan penyakit Duchenne Muscular Dystrophy. Bantuan susu khas berjumlah RM1,581 bagi tempoh enam bulan disalurkan bagi membantu keperluan pemakanan penerima.
Puan Noraani binti Abdul Samad dari RPA Rimba Panjang, Sungai Siput pula menerima bantuan perubatan kali kelapan berupa 47 pek Abbott Nephro HP 220ml bernilai RM1,969.30 bagi tempoh enam bulan.
Sementara itu, Encik Mohd Halim bin Abd Wahab dari Kampung Berala Kati menerima bantuan perubatan kali keempat bernilai RM6,859.60, melibatkan lampin pakai buang, susu khas dan tiub pemakanan berikutan keadaan beliau yang terlantar akibat strok.
Puan Norazatonlaini binti Abdan, juga dari Kampung Berala Kati, menerima bantuan perubatan buat kali pertama berupa 60 pek lampin pakai buang bernilai RM1,680 berikutan keterbatasan pergerakan selepas menjalani amputasi kaki kanan.
Bantuan ini diharapkan dapat memberi sedikit ruang dan keselesaan kepada penerima serta keluarga dalam menghadapi ujian, di samping menjadi bukti bahawa amanah zakat terus hadir sebagai sinar buat mereka yang memerlukan.
Semoga semua penerima dikurniakan kesembuhan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian.


















